9 Mac 2017 - 19:44
Majlis Ulama Bahrain Seru Warga Bahrain Turun Ke Jalan Raya Nyatakan Sokongan Kepada Syeikh Isa Qasim

Majlis Ulama Bahrain telah menyeru seluruh warga Bahrain untuk turun ke jalan raya pada tarikh 9 hingga 14 Mac dalam rangka menyatakan sokongan mereka kepada Syeikh Isa Qasim yang merupakan salah seorang daripada ulama terkemuka negara Arab itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Majlis Ulama Bahrain telah menyeru seluruh warga Bahrain untuk turun ke jalan raya pada tarikh 9 hingga 14 Mac dalam rangka menyatakan sokongan mereka kepada Syeikh Isa Qasim yang merupakan salah seorang daripada ulama terkemuka negara Arab itu.

Syeikh Isa Qasim sebelum ini telahpun dilucutkan kewarganegaraannya oleh rejim Manama yang sebelum ini dikritik oleh pelbagai pihak seperti Tehran dan Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusi Bahrain (BHRM) kerana dilaporkan mengamalkan pendekatan yang keras di dalam menangani para penentang mereka.

Beliau yang juga merupakan ketua spiritual kepada parti pembangkang al-Wefaq kini berhadapan dengan tuduhan "mengumpul dana secara tidak sah, mengubah wang haram dan menyokong keganasan" daripada pihak rejim al-Khalifa. Ulama terkemuka negara Teluk Parsi itu walau bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Majlis Ulama Bahrain pada 8 Mac lepas mengeluarkan sebuah kenyataan yang menyeru warga Bahrain untuk menyatakan sokongan mereka kepada ulama itu, Di dalam kenyataan itu, mereka memperingatkan umat Islam di Bahrain untuk bangkit di atas nama Allah.

Menurut mereka, kebangkitan yang dibuat di atas nama suci itu adalah kunci kepada kemenangan yang telah diajarkan oleh Nabi S.A.A.W kepada umatnya.

Mereka juga menyeru kepada seluruh warga Bahrain yang cintakan keadilan, kemuliaan dan kehormatan untuk mengambil peluang yang tersedia untuk menuntut hak mereka yang menurut mereka selama ini telah diabaikan. Mereka menambah dengan mengatakan "Bangkitlah di jalan Allah dan carilah rahmat-Nya."

Mereka juga menjemput warga Bahrain untuk "melakar sejarah pada tarikh 9 hingga 14 Mac" dengan menuntut pembebasan Syeikh Isa Qasim yang menurut mereka adalah simbol kepada indentiti agama dan negara tersebut.

Mereka juga menyeru warga Bahrain supaya tidak gentar untuk berjuang di jalan Allah sambil memperingatkan semua pihak akan ayat ke-100 daripada surah al-Nisa yang bermakna ""Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

/315